• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pengguna Diminta Buat Aduan Jika Tertipu Dengan Jualan Murah

HULU TERENGGANU, 24 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya ada peniaga cuba menipu atau manipulasi harga semasa mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata peniaga yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

“Memang ada berlaku peniaga yang menampal harga baharu atas harga lama dan jika ini berlaku, pembeli boleh membuat aduan dan sertakan bukti belian kepada KPDNHEP untuk kita buat siasatan.

 “Namun setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan,” katanya ditemui selepas memantau perjalanan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini hari ini.

Sementara itu, Rosol berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada 12,278 premis perniagaan di seluruh negara untuk mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri sejak 3 April lalu. 

“Kita juga telah mempermudahkan prosedur penganjuran jualan murah dengan cukup sekadar menghantar notis bukan seperti kebiasaan iaitu perlu melakukan permohonan rasmi yang akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari,”ujar beliau.

Dalam masa yang sama katanya, pemantauan oleh 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga akan tetap diteruskan walaupun kelonggaran diberikan kepada peniaga bagi memastikan hak pengguna terjamin.