• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengorbanan 'Frontliners' Dikenang Sebaris Perjuangan Kemerdekaan - MB

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos 2021 - Pengorbanan barisan hadapan yang sanggup menggadaikan masa dan nyawa semata-mata demi masyarakat wajar dikenang sebaris dengan pejuang kemerdekaan terdahulu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia berdepan dengan 'penjajah baharu' iaitu wabak COVID-19 yang menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak untuk membebaskan negara daripada cengkaman ini.

“Kita seharusnya lebih menghayati erti kemerdekaan, lebih-lebih lagi pandemik telah menyebabkan kehidupan kita berubah, kebebasan terbatas, malah menjejaskan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan orang awam.

“Walaupun berdepan dengan musuh yang berbeza dengan orang terdahulu, namun kita wajar mengambil semangat tidak mengalah mereka dalam membebaskan negara.

“Jika pejuang dahulu menggunakan senjata, namun generasi hari ini perlu berperang dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengambil vaksinasi,” katanya melalui perutusan Hari Kebangsaan 2021, yang dimuat naik melalui Facebook (FB), hari ini.

Tambahnya, beliau menyeru semua rakyat agar mematuhi saranan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memerangi COVID-19.

“Saat ini juga, kita mestilah memberi keutamaan kepada agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan saling bersatu hati dan bekerjasama sekali gus menjayakannya.

“Akhirnya, marilah kita menyelami maksud sebenar tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut kita untuk mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

“Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu,” ucapnya.