• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pengorbanan Pasukan Keselamatan Padam Kebakaran KBC Dihargai



Kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang bertungkus lumus memadam kebakaran tangki minyak milik Kemaman Bitumen Company (KBC) sejak Khamis lalu, sehingga berjaya dipulihkan sepenuhnya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan kesemua yang terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain sebagai wira kerana sanggup menggadaikan nyawa mereka untuk menyelesaikan tugasan tersebut.

"Mereka ini adalah wira yang tidak didendang kerana ketika penduduk sedang nyenyak tidur, mereka berhadapan dengan api yang besar dalam melakukan tugasan mereka," katanya.


Menurut Hanafiah, pengorbanan yang dilakukan pihak bomba adalah sesuatu yang tidak dapat dibalas dengan wang ringgit kerana apa yang dilakukan mereka tidak mungkin dapat dilakukan oleh orang lain.

"Bayangkan mereka terpaksa berhadapan dengan situasi yang merbahaya kerana tangki tersebut boleh meletup pada bila - bila masa dan mereka terpaksa merisikokan nyawa mereka untuk kesenangan orang lain," katanya.

Menurut beliau lagi, semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh anggota bomba menjadi ramuan utama kepada kejayaan operasi pada kali ini.

Tambah beliau,  kemahiran yang dikuasai oleh setiap anggota keselamatan dalam operasi tersebut menjadi faktor utama kepada kejayaan mereka.

Hanafiah berkata, kecekapan yang ditunjukkan oleh anggota bomba dapat menghalang kebakaran menjadi besar dan tempoh pemadaman kebakaran dapat dilakukan dalam masa tiga hari.

"Sekiranya tiada faktor tersebut, kemungkinan kebakaran menjadi lebih teruk dan ianya akan mengakibatkan panik di kalangan penduduk setempat, " katanya.

Hanafiah turut memuji peranan yang dimainkan oleh petugas media yang berkampung di kawasan kejadian bagi memberi maklumat yang tepat mengenai tragedi itu kepada orang ramai.

Operasi pemadaman kebakaran loji tersebut yang dianggap terburuk dalam sejarah Negeri Terengganu selesai sepenuhnya pada jam 1 petang tadi selepas 67 jam operasi pemadaman dijalankan.

Tag: