• 25 Jan 2022 | 21 Jamadil Akhir 1443

Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu supaya tidak hanya memastikan peruncit atau peniaga sahaja mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebaliknya pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius juga harus dilakukan ke atas pemborong.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati.

“Cuma ada beberapa isu yang diberitahu oleh peniaga antaranya pemborong kurang mematuhi harga yang dicadangkan pihak kerajaan.

“Saya mengharapkan pihak penguatkuasa semak semula keadaan yang berlaku di pasar-pasar borong yang telah dikenalpasti kerana kita tidak mahu peruncit tertekan dengan kawalan harga ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau jualan barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya mengharapkan KPDNHEP Terengganu akan mengambil tindakan segera terhadap aduan peniaga berkaitan isu pemborong ini dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Bila sembang dengan peniaga tadi, kita dapati mereka terpaksa menerima keuntungan yang sedikit kerana patuh akan saranan kerajaan ekoran berlaku kegagalan pematuhan di peringkat pemborong.

“Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi ditolak kepada peniaga sehingga RM7.50 ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90,” ujarnya.

Katanya, bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dipatuhi dan peniaga tidak ditindas, perkara ini perlu diselesaikan di peringkat pemborong terlebih dahulu.