• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengundi DUN Ladang Terima Kehadiran Saya- Zuraida

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- “Walaupun saya merupakan calon wanita bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada hari ini, penerimaan penduduk serta pengundi di Ladang terhadap kehadiran saya sangat baik. Tidak ada sebarang masalah.”

Itu kata calon Perikatan Nasional (PN)-PAS bagi kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Zuraida Md Noor.

Menurut satu-satunya calon wanita yang mewakili PAS, sejak penamaan calon sehingga kini, beliau telah turun padang berkempen setiap hari dan telah berjumpa ribuan pengundi serta warga Ladang secara bersemuka khususnya di kawasan itu yang paling ramai pengundi.

“Di DUN Ladang ini kawasan bandar, jadi tidak timbul isu gender di kalangan kami, setakat kami turun berkempen tidak ada penolakan untuk calon wanita, semua menyambut dengan baik.

“Dengan pengalaman saya menjadi ADUN Wanita selama lima tahun dan saya juga anak jati di sini, jadi saya tidak kekok dengan masyarakat di sini,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, hari ini.

Terdahulu, Zuraida tiba di Pusat Pembuangan Undi di sekolah itu pada pukul 9.15 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi 10 minit kemudian di Saluran 5.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan pengundi dan petugas yang ada dengan bertanya khabar mereka semasa meninjau kesemua 10 Saluran Mengundi di pusat terbabit.

Dalam PRU DUN Ke-15 kali ini, Zuraida berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN),iaitu Dato’ Mohd Sabri Alwi.