• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pengundian Baki 9 Buah RMM Batu Hampar, Secara Atas Talian

HULU TERENGGANU, 14 Oktober – Proses Pengundian pemilikan baki kekosongan sembilan unit Rumah Mampu Milik (RMM) Hamparan Permai Batu Hampar Manir daripada 444 kediaman berjaya diselesaikan melalui pengundian atas talian semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, sebanyak 1200 pemohon berdaftar  e-perumahan SUK Terengganu bermula 2015 sehingga 2019 berjaya ditapis kelayakan dan telah berjaya tersenarai dalam proses pengundian.

“Isu pemilikan ini berlarutan sejak pembinaan perumahan tersebut bermula 2010 dan mula didiami fasa pertama pada tahun 2014 dengan timbul kekhilafan dari segi pembahagian sehingga berlaku penarikan hak milik.

“Terlalu ramai yang datang jumpa dengan saya nak mohon rumah, maka kami diperingkat DUN buat keputusan untuk buat pengundian, walaupun masih ramai yang marah, saya harap ianya dapat meredakan keadaan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pengundian RMM Batu Hampar dibilik Seminar Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir Kubang lembek yang turut diadakan siaran langsung (Live) di Facebook Page rasmi YB Hilmi Dato’ Harun.

Turut hadir Penolong Setiausaha PSU Operasi dan Penguatkuasaan bahagian perumahan SUK Terengganu, Muhammad Hazimin Mat Yassin, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Puan Syarifah Nabihah Syed Omar dan Penghulu Mukim Manir, Khairul Syahril Othman.

 

Tambah Hilmi lagi, sembilan nama pemohon yang telah dibuat cabutan akan diproses syarat-syarat kelayakan semula oleh SUK Perumahan dan sembilan lagi nama dicabut untuk calon pemilikan menunggu jika berlaku penolakan kelayakan 9 undian awal mengikut angka giliran.

Rumah RMM berkenaan dijual kepada yang layak dengan nilai RM68,000 setiap unit daripada harga kos sebenar RM130,000 yang mana tanggungan subsidi kerajaan kepada setiap unit bernilai RM62,000.