• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pengusaha Perlu Peka Elak Tragedi Sama Berulang

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Pengusaha pelancongan diingatkan supaya mengambil iktibar dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak kemalangan serupa membabitkan bot berhampiran jeti besut berulang.

Dalam insiden berkenaan lima mangsa merupakan kanak-kanak dan dua dewasa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas lemas.

Terdahulu bot pelancong yang membawa 29 penumpang terbalik apabila melanggar sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut, kelmarin walau bagaimanapun kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku itu dan berharap agar siasatan lanjut dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar yang terjadi.

Ini kerana katanya, soal keselamatan dan keselesaan pelancong menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri, justeru ia perlu diambil perhatian oleh setiap pengusaha pelancongan.

"Jika tidak dibendung ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap industri pelancongan di Terengganu kerana pengunjung akan mempertikaikan isu keselamatan. Pemakaian jaket keselamatan di samping kapasiti bot yang tidak melebihi muatan adalah peraturan wajib, saya hairan bagaiamana boleh berlaku di muara sungai yang luas.

"Jika disebabkan kecuaian pemandu, maka tindakan perlu diambil sebagai iktibar kepada semua pihak," katanya.

Katanya, siasatan kemalangan bot berkenaan diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Laut Malaysia untuk diambil tindakan selanjutnya.

Berdasarkan siasatan awal, Jabatan laut Malaysia memaklumkan bot pelancong berkenaan membawa penumpang berlebihan berbanding 12 orang yang dibenarkan.


Tag: