• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peniaga Bazar Ramadan Disaran Guna Plastik Mesra Alam

KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Peniaga-peniaga bazar Ramadan seluruh negeri Terengganu disaran beralih kepada penggunaan beg plastik mudah urai (biodegradasi) bagi menyambut Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan kempen itu adalah kesinambungan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar plastik 2018-2030.

"Pelaksanaan kempen diteruskan di hampir 63 bazar Ramadan dengan penglibatan 5,342 orang peniaga.

"Semua yang terlibat juga perlu menyediakan alternatif lain seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengn beg boleh berulang kali digunakan iaitu 'woven bag', mengamalkan memberi penyedut minuman (straw) berdasarkan permintaan sahaja dan pengunaan straw mesra alam.

"Pengunjung juga disaran membawa bega dan bekas makanan sendiri bagi meminimakan penggunaan beg plastik sekali guna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen berkenaan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak memaklumkan, kempen tersebut boleh dilaksanakan peniaga dalam pelbagai alternatif.

"Kita galakkan peniaga untuk tawarkan plastik mudah urai kepada pelanggan yang tiada beg dengan mengenakan caj yang bersesuaian.

"Saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun memantau mana-mana individu yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj bagi plastik sekali guna," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri akan menguatkuasakan penggunaan plastik mesra alam (mudah urai) dalam syarat perlesenan kepada peniaga.

Kempen Tiada Beg Plastik merangkumi dua fasa iaitu Fasa 1 bermula pada tahun 2018-2021 yang dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu bertumpu kepada premis kekal seperti pasar raya besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kefai rangkaian dan farmasi.

Manakala, Fasa 2 dilaksanakan lebih meluas kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.