• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Peniaga 'Bundle' Berputih Mata Rugi RM5,000

KEMAMAN, 22 Disember – Seorang peniaga ‘bundle' rugi lebih RM5,000 apabila beg-beg jualan ditenggelami air banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, baru-baru ini.

Mangsa, Saiful Mohd, 32, berkata, dia tidak menyangka air naik setinggi paras pinggang pada hari Jumaat lalu.

“Walaupun telah meletakkan barangan ke tempat tinggi, tapi air naik di luar jangkaan dan menyebabkan stok 400 kilogram (kg) atau hampir 1,000 beg bundle terapung atas air.

“Itu tidak termasuk barangan rumah juga yang tidak sempat diselamatkan. Namun begitu, mana-mana beg bundle yang dapat diselamatkan saya akan guna kembali.

“Harap supaya saya dapat meniaga kembali seperti biasa dalam masa terdekat di Padang Astaka, Chukai (khamis), berdekatan Pasar Borong, Dungun (jumaat), ‘Carboot sale’ Taman Tas, Kuantan (Sabtu) dan Pasar Karat, Kuantan (Ahad)," katanya yang juga seorang bapa kepada dua anak.

Mengulas tentang usaha pembersihan Khidmat Malaysia Terengganu di kawasan perumahannya, Saiful berkata, bantuan tersebut meringankan bebannya dalam menghadapi musibah ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata, mereka di perumahan tersebut menghadapi musibah besar buat kali pertama sejak tahun 2015.

“Antara punca paling besar adalah hujan turun di Kemasik hampir 313mm dalam sehari berbanding 200mm sebulan.

“Masalah keberkesanan ‘culvert’  juga antara faktor, oleh itu permohonan sedang diusulkan kepada peringkat kerajaan pusat bagi peruntukan RM 1.6 juta bagi culvert tambahan.

“Kerajaan negeri akan membantu semampu yang mungkin dalam isu ini,” ujarnya.