• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peniaga Jual Makanan Kepada Kaki Ponteng Puasa Dicekup

BESUT, 22 April - Tindakan seorang peniaga wanita yang menjual makanan siap dibungkus kepada ‘kaki ponteng’ puasa mengundang padah apabila dia ditahan Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Besut dalam operasi Ops Ramadan kelmarin.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md Adnan Abdullah berkata, dalam operasi jam 11.45 pagi itu wanita berusia 57 tahun terbabit  dikatakan mengambil kesempatan dengan menjual makanan bungkus seawal jam 8.30 pagi sejak awal Ramadan lalu.

“Berdasarkan intipan yang dibuat oleh pegawai penguatkuasa syariah sebelum tangkapan dibuat, peniaga berkenaan didapati telah menjual makanan secara bungkus kepada beberapa orang lelaki yang dipercayai pelanggan yang tidak berpuasa. 

“Wanita tersebut ditahan di bawah seksyen 19 (a) Enakmen kesalahan jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu kesalahan tidak menghormati Ramadan,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.

Sementara dalam operasi berasingan di Marang semalam, seorang peniaga wanita turut ditahan di bawah kesalahan sama. 

Jelas Md Adnan, Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Marang mengesyaki perbuatan memalukan itu dilakukan selepas beberapa intipan dibuat pihaknya.

“Dia disyaki menjual makanan kepada individu yang tidak berpuasa. 

“Hasil intipan yang dibuat oleh pegawai Penguatkuasa Syariah sebelum tangkapan dibuat mendapati beberapa orang pelanggan telah datang ke kedai wanita berkenaan untuk membeli makanan secara bungkus. 

“Wanita berkenaan kemudiannya ditahan sekitar jam 11.00 pagi,” tambah beliau.


Tag: