• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peniaga Karnival Siam Festival Dikompaun RM1,200

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Empat premis jualan makanan yang menjalankan operasi perniagaan di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022 dikenakan kompaun RM1,200 kerana gagal mempamerkan harga jualan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Nor Azmi Lamisza berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut ke atas gerai-gerai di karnival berkenaan semalam.

“Dalam pemeriksaan melibatkan lapan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Negeri Terengganu ini, sebanyak empat buah premis jualan makanan yang diperiksa didapati masih gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

“Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 2(1) Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, kompaun keseluruhan sebanyak RM1200 telah dikeluarkan ke atas 4 buah premis gerai tersebu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Azmi, sebelum ini beberapa anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah ke lokasi sama dan menasihatkan peniaga agar meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka.

“Kami menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap hak-hak sebagai seorang pengguna sebelum membuat sesuatu pembelian supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah.

“Pengguna boleh membuat pilihan untuk tidak membeli sekiranya didapati sesuatu barangan itu ditawarkan dengan harga yang tinggi atau tidak munasabah,” jelasnya.


Tag: