• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peniaga ‘Online’ Disyaki Edar Dadah Ditahan Polis

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Polis menahan seorang peniaga dalam talian (online) yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Terengganu dan Kelantan di sebuah rumah di Bukit Tok Beng di sini, jam 8.30 malam pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan peniaga 'online' berusia 43 tahun yang dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan dadah jenis heroin dianggarkan seberat 28 gram (gram) dan dadah ini dipercayai untuk dijual di sekitar Terengganu dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurut Ming Kung, ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Beliau juga  berkata, polis turut menyita enam kenderaan, empat jenis barang kemas dan sejumlah wang tunai RM27,400.00 dipercayai hasil jualan dadah.

"Antara kenderaan yang di sita ialah Toyota Vellfire, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi, empat motosikal jenis Kawasaki Z800, Yamaha Y15 ZR serta dua motosikal Yamaha RXZ dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM381,900," ujar Ming Kung
.
Katanya lagi, semua harta-harta yang diperoleh secara haram daripada sumber kegiatan dadah juga akan disiasat dan dilucuthakkan.