• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Peniaga Pasar Marang Kembali Ke Tempat Berniaga Asal

MARANG, 2 Disember - Puluhan peniaga Pasar Marang mula kembali berniaga di tempat asal selepas beberapa minggu dipindahkan ke tempat baru kerana arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Perpindahan ke tempat baru menyebabkan aktiviti jual beli sedikit perlahan kerana agak jauh dari bangunan utama pasar sehingga menimbulkan keluhan daripada peniaga-peniaga sekitar yang terjejas.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata isu keluhan peniaga ini telah mendapat perhatian dan telah beberapa kali dibawa ke dalam mesyuarat untuk diambil tindakan.

Katanya, rundingan yang diadakan bersama pihak Majlis Daerah Marang, Ahli Majlis Daerah dan peniaga pasar telah diadakan ke arah mencapai penyelesaian bersama di samping mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Hari ini, kita bersama-sama turun bagi melihat aktiviti perniagaan setelah diambil tindakan untuk balik semula ke tempat asal dengan pematuhan SOP baru yang ditetapkan.

"Sebanyak empat pintu atau laluan masuk akan dibuka kepada pembeli serta orang awam dan akan dikawal ketat oleh pihak penguatkuasa MDM yang dibantu oleh persatuan penjaja secara bergilir," katanya.

Menurutnya lagi, pihak terlibat memahami masalah yang mungkin dialami oleh peniaga namun dalam keadaan semasa, masyarakat dan jabatan perlu mengambil berat masalah penularan wabak yang sedang meningkat.

"Lebih-lebih lagi, kes-kes yang berlaku melibatkan kawasan sekitar menambah kegelisahan kita dari sudut penjagaan SOP dan aktiviti sosial yang dijalankan.

"Sebarang keputusan atau perubahan melibatkan keselamatan dan masalah penularan wabak ini perlu diteliti secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

"Namun, pihak terlibat akan sentiasa memantau dan meninjau isu-isu berbangkit yang melibatkan masyarakat dengan membuat keputusan yang terbaik demi kesejahteraan bersama," ucapnya lagi.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Yusuf Abdul Hadi, Penolong Pegawai Penilaian Kanan, Mohd Khalid Awang, Ketua Penguatkuasa MDM, Mohd Azam Arsad, MPKK Batu Merah dan wakil persatuan penjaja.

 


Tag: