• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Peniaga Positif COVID-19, Dua Bazar Di Besut Ditutup

KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengarahkan bazar Ramadan di Kuala Besut dan Bukit Kenak, dalam daerah Besut ditutup tujuh hari bermula semalam hingga 7 Mei ini selepas ada peniaga di bazar itu positif COVID-19.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kedua-dua bazar itu diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi mencegah penularan COVID-19.

"Siasatan mendapati tiga daripada enam pekerja sebuah kafe di daerah Besut yang didapati positif, turut berniaga di kedua-dua bazar berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (6), Dungun (5), Marang (5) dan Hulu Terengganu (2). – BERNAMA.


Tag: