• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peniaga Tanggung Kerugian Akibat Banjir

HULU TERENGGANU, 20 Disember - Kejadian banjir besar yang melanda mukim Hulu Telemong dekat sini telah mengakibatkan ramai peniaga terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit apabila barang perniagaan dan peralatan kedai rosak teruk sehingga ada yang terpaksa dibuang.

Salah seorang pemilik kedai peralatan memancing di Kampung Tengkawang, Mohd Safee Wahab, 56, berkata kejadian banjir itu di luar jangkaan memandangkan kawasan itu pernah dinaiki air tetapi tidak seburuk itu. 

"Saya tak jangka banjir seteruk ini sedangkan dalam kejadian bencana itu pada Januari lalu, kawasan ini hanya dinaiki air melepasi paras O.5 meter.

"Saya sangka air hanya akan naik paras lutut, jadi ada barang saya sempat letakkan ditempatkan lebih tinggi namun semuanya juga turut terendam air," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini.

Mohd Safee yang kerugian lebih RM5,000 berkata, kerja-kerja membersihkan kedai kini dimulakan sejak pagi tadi selepas banjir surut.

Turut mengalami nasib sama, peniaga kedai runcit, Mas Atia Mohd Safee, 30 yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 apabila hampir separuh barang perniagaannya rosak dan terpaksa dibuang.

Dia berkata, kedainya itu ditenggelami banjir sedalam dua meter.

"Memang kami tak buat persediaan awal untuk mengalihkan barang-barang sebab kedai ini dibina tinggi dengan harapan mampu mengelakkan dimasuki air," katanya.