lightning-solid
Berita :
Penilaian Teknikal JAS, JPS Wajib Bagi Setiap Projek Pembangunan - MP Setiu
Penilaian Teknikal JAS, JPS Wajib Bagi Setiap Projek Pembangunan - MP Setiu
Zahid Mustafar
1 hari yang lepas
66

Oleh: Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mendesak kerajaan supaya memperketatkan prosedur kelulusan projek pembangunan dengan mewajibkan penilaian teknikal sepenuhnya daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Langkah ini disifatkan kritikal bagi memastikan setiap pembangunan fizikal tidak mengundang implikasi negatif terhadap ekosistem negara, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.

Beliau menegaskan bahawa pengabaian terhadap pandangan pakar dan prosedur teknikal telah terbukti membawa padah. Beliau memetik insiden hakisan pantai yang serius di Tok Jembal dan Batu Rakit, Terengganu, sebagai contoh nyata kegagalan penilaian impak yang menyeluruh susulan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

"Kita tidak mahu pembangunan hari ini membebankan generasi akan datang. 

"Kemajuan fizikal negara mestilah bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar dan tidak boleh dikompromi," tegas beliau ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih tegas. Sebarang kelulusan projek tidak seharusnya diberikan sekiranya gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh agensi teknikal berkaitan. 

Hal ini penting bagi mengelakkan kerajaan terpaksa menanggung kos pemulihan yang tinggi akibat bencana buatan manusia pada masa hadapan.

Beliau turut menuntut agar pihak berwajib tidak teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemaju atau pihak berkepentingan yang didapati memintas prosedur penilaian teknikal demi keuntungan komersial semata-mata.


Artikel Berkaitan