BESUT, 17 September - Penjaga sebuah premis di Pulau Perhentian di sini ditahan dalam satu serbuan pihak berkuasa hari ini kerana disyaki menganjurkan aktiviti hiburan melampau.
Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, DSP Azrol Anuar Nor berkata, dalam operasi pada 12.30 pagi itu, pihak premis turut gagal mengemukakan lesen perniagaan dan lesen pusat.
Katanya, pihak polis pernah mengambil tindakan terhadap premis itu sebelum ini tetapi pemiliknya membuka semula pusat tersebut secara haram.
“Pemeriksaan mendapati penjaga premis gagal mengemukakan sebarang lesen perniagaan dan lesen pusat hiburan.
“Apabila kami tiba, muzik dimainkan dengan kuat. Lebih kurang 20 orang pelancong asing berada di premis tersebut.
“IPD Besut akan terus memantau dan mengambil tindakan lagi sekiranya kejadian tersebut berulang,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 6(1), Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2022.
Pengunjung Pulau Perhentian diseru membantu pihak berkuasa untuk melaporkan sekiranya ada unsur hiburan melampau berlaku di sana.