• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penjawat Awam Perlu Perkukuh Intergriti, Jaga Imej Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa menjaga integriti ketika bekerja agar ketelusan dapat dikekalkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berfungsi secara efektif dan efisien.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, ini bagi memastikan semua penjawat awam sentiasa mengamalkan budaya kerja cemerlang dan menjunjung aspirasi Kerajaan Negeri “Terengganu Maju Berkat Sejahtera” serta diadun bersama aspirasi kerajaan Malaysia iaitu MADANI.

“Seperti biasa, kita sedia maklum bahawa jabatan di Wisma ini sentiasa menjadi perhatian dan rujukan kepada jabatan-jabatan luar.

“Justeru itu,  suka untuk saya ingatkan kepada semua, sama ada yang baru atau yang lama berkhidmat di dalam Wisma Darul Iman (WDI) ini agar sentiasa menjaga etika dan mutu perkhidmatan sepanjang bekerja,”ujarnya di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman bertempat di Dewan Besar, WDI.

Dalam majlis tersebut, seramai 37 orang penerima daripada pelbagai jabatan/bahagian/unit  menerima anugerah tersebut berupa Insentif Kecemerlangan sebanyak RM500.00 dan Sijil Penghargaan. 

Menurut beliau lagi, perhimpunan bulanan yang dibuat secara berkala ini merupakan medium terbaik untuknya menyampaikan maklumat terkini, teguran-teguran dan beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan.