• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Penjawat Awam Perlu Terap Nilai Islam Dalam Pekerjaan


KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Penjawat awam perlu sentiasa menitikberatkan etika kerja berlandaskan nilai Islam agar sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu membawa keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar berkata, ianya selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Terengganu sebuah negeri yang `Maju, Berkat dan Sejahtera’ yang mana penjawat awam di negeri ini juga perlu berpegang kepada prinsip berkenaan.

“Laksanakan setiap tugasan dengan penuh amanah, dan jadikan prinsip berkenaan sebagai arah tuju kita sebagai kakitangan kerajaan.

“Memandangkan majoriti rakyat negeri ini Melayu dan beragama Islam, nilai-nilai Islam seperti amanah, dedikasi, berdisiplin, bertanggungjawab, tekun dan lain-lain lagi sepatutnya menjadi panduan semasa kita bekerja,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin dan Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, .

Sempena perhimpunan bulanan itu juga, beliau turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu yang terbahagi kepada lapan kategori.


Calon terbaik bagi Anugerah Go Green dimenangi Oleh Zon Tingkat 9 Bahagian Khidmat Pengurusan, Hasil Kreativiti Terbaik (Zon Tingkat 15 Bahagian Khidmat Pengurusan), Tandas Terbaik (Zon Perumahan, Unit Perumahan).

Manakala, Bilik Fail Terbaik (Zon Tingkat 8 Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Meja Kerja Terbaik ( Che Md Hazwan Che Md Hassan dari Unit Perumahan) dan Bilik Pegawai Terbaik (Mohd Azmi Mustafa) dari Bahagian Khidmat Pengurusan.

Pantri Terbaik (Zon Perumahan, Unit Perumahan), Stor Terbaik (Zon Tingkat 2 Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat) serta Zon Terbaik dimenangi Zon Perumahan dari Unit Perumahan.

Pada perhimpunan itu, Mohd Zahari juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada 15 penerima Anugerah Pekerja Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan Mei, Jun dan Julai 2019 serta penyampaian Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2018 kepada Mohamad Rozali Sulong dari Majlis Perbandaran Kemaman.

Tag: