• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Penjawat Awam Perlu Terbuka Terima Maklum Balas Rakyat - SUK

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, pagi ini. Foto Oleh: Zulkifli Putra

Penjawat awam dari semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini harus mengamalkan sikap terbuka dalam menerima setiap maklum balas rakyat bagi mengelak terhakisnya keyakinan orang ramai terhadap organisasi kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail  berkata, budaya berkenaan pen­ting bagi memperbaiki dan menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan transformasi perkhidmatan awam.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan kepercayaan orang awam terhadap kakitangan kerajaan semakin hilang adalah berpunca daripada sikap negatif dalam diri segelintir penjawat awam itu sendiri.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, carilah jalan untuk mengikis ruang-ruang kehilangan krisis keyakinan ini pada masyarakat.

“Kita seharusnya perlu lebih pandai melayani pelanggan dan menjawab setiap persoalan mereka dengan berhemah. Beritahulah perkara yang betul, apa sebenarnya yang berlaku serta berani berhadapan dengan mereka dan jangan cuba melarikan diri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A. Rahim Jusoh; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Mohamad Kamil Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Abdul Rahman Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Zainal Abidin Hussin.


Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bulanan kepada kakitangan WDI untuk Julai hingga November.

Sementara itu menurut Wan Nawawi, dalam usaha mewujudkan sebuah organisasi yang berpaksikan pengetahuan, mulai tahun hadapan kakitangan awam negeri ini akan dinilai berasaskan kepada peningkatan prestasi masing-masing.

“Dalam konteks ini, kita akan berhadapan dengan satu situasi di mana siapa cepat dia dapat, siapa pandai dia (mendapat) lebih dan siapa yang kreatif dia akan maju ke depan.

‘Kita akan terapkan sifat kerja untuk berlawan menjadi yang terbaik dan sebagai penjawat awam seharusnya perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang ada,” ujarnya.

Wan Nawawi berkata, selain patuh kepada arahan tugas dan menepati masa, ciri-ciri yang perlu ada di kalangan penjawat awam yang berwibawa juga adalah perlu mesra pelanggan serta melemparkan senyuman tanpa mengira dengan siapa kita berurusan.

Tag: