• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penternakan Landak Jana Pendapatan Lumayan

HULU TERENGGANU, 12 Julai -  Minat seorang lelaki menternak landak jenis Landak Raya atau nama saintifiknya adalah Hystrix brachyura  ternyata berbaloi kerana hobi itu menjana pendapatan lumayan ketika ini.

Ismail Muhamad, 69, menceburi bidang ternakan landak secara komersial lebih sepuluh tahun lalu di belakang rumah di Kampung Baru Sungai Binjai,dan ketika ini landak ternakannya sudah membiak hingga 120 ekor semuanya,

Katanya, penternakan landak mampu menjana pulangan lumayan, tetapi ia membabitkan modal besar dan kesabaran tinggi kerana memerlukan masa sebelum membuahkan hasil.

 


"Walaupun menternak landak lambat mendatangkan hasil namun haiwan berkenaan mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran sehingga boleh mencecah RM150 sekilogram. Seekor landak seberat 15 hingga 20 kilogram bersama induknya boleh dijual dengan harga RM3,500 hingga RM4,500 bergantung kepada harga pasaran semasa.

“Ia tahan lasak dan tahan penyakit serta boleh membesar sehingga 20 kilogram, cuma perlu tunggu sehingga berusia lapan bulan,” katanya ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Menurutnya, pelanggan datang dari seluruh semenanjung Malaysia dan hasil jualan landak sebulan mampu mencecah hampir RM9,000 dan kebiasaannya pembeli membeli sepasang haiwan eksotik itu.

Tambah Ismail, landak mempunyai peminat tersendiri sama ada untuk dijadikan makanan atau peliharaan.

"Daging landak juga agak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab dan sesuai dibuat sate. Daging landak boleh dimasak dengan pelbagai cara tetapi kebiasaannya ia akan dimasak sebagai rendang, masak kicap atau digoreng," katanya.

Jelasnya lagi, selain perlu mendapatkan lesen menternak, membeli dan menjual daripada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (PERHILITAN), menternak landak sebenarnya sangat mudah.


“Kita cuma perlu siapkan kandang yang bersesuaian bagi pasangan landak dan perlu diberi makanan berasaskan tumbuhan seperti buah atau sayur labu, ubi kentang, keledek selain kangkung dan perlu diberi makan tiga hingga empat kali.

“Menternak landak jauh lebih mudah dan tidak terlalu membebankan, dan hanya perlu memberi tumpuan terhadap makanan selain menjaga kebersihan kurungan yang perlu dibersihkan setiap hari," katanya.