• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 24 April - Idea-idea yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Persekutuan hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk serta dianggap mempersendakan gaya hidup rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, rakyat turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan kerana dianggap tidak peka terhadap keperluan serta aspirasi rakyat.

"Kerajaan PH BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP. 

"Di peringkat Kerajaan Negeri, telah lama wujudnya JPKK lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik serta objektif tersebut tercapai," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Hanafiah turut menyoal, mengapa perlu ada dua entiti untuk satu tujuan dan matlamat yang sama.

"Ini merupakan satu elemen dan anasir luar serta persepsi bagi memecah belahkan keharmonian hidup rakyat. 

"Sebagaimana kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat peningkatan kos sara diri yang kian meningkat," tambah Hanafiah lagi.


Tag: