• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penularan COVID-19 Di Terengganu Terkawal

KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Penularan COVID-19 di Terengganu masih terkawal walaupun mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian yang tinggi sejak minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pergerakan rentas negeri bermula pada 7 Disember lalu menjadi punca kes di negeri ini menaik secara mendadak.

“Walaupun kes meningkat tetapi kes masih terkawal. 

“Namun begitu, kita akan meningkatkan aktiviti kesihatan awam di Terengganu dengan memantapkan perkhidmatan di hospital bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Untuk rekod, Terengganu mencatatkan 38 kes positif baharu dan 74 kes sembuh setakat jam 12.00 tengah hari, hari ini.

Dr Noor Hisham.

Mengulas tentang penularan pandemik berkenaan ke atas kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses melakukan sanitasi di hospital tersebut.

“KKM juga akan memberikan sokongan kepada petugas kesihatan bagi meningkatkan kembali semangat mereka dalam memberikan bakti dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia akan menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada 26 Februari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, proses pengagihan vaksin itu ke negeri-negeri bagi Program Imunisasi Kebangsaan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas bekalan tersebut tiba.

“Jangkaan kita pada 26 Februari sampai di pintu masuk antarabangsa Malaysia, kemudian kita akan agihkan kepada semua dan mungkin dalam tempoh seminggu dua,” tambah beliau.


 


Tag: