• 03 Mac 2021 | 19 Rejab 1442

Penulis Otai Hadiahkan Buku Tanda 'Terima Kasih'

MARANG, 5 Disember - Seorang penulis otai menghadiahkan beberapa buah buku yang ditulisnya kepada jawatankuasa banjir dan sukarelawan sebagai tanda penghargaan kerana membantu membersihkan rumah akibat banjir kilat.

Rahimah Latif, 68, yang dilahirkan di Kuala Terengganu mula menulis pada awal tahun 1969 dengan bimbingan Allahyarham Harun Hassan dan Sukby Latif.

Beliau juga pernah berkerja sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia dan BERNAMA, malah Cerpen, sajak, rencana beliau banyak tersiar dalam Utusan Malaysia dan Utusan Zaman.

Rahimah berkata, buku bertajuk Diari Ummi Untuk Rafiqah merakamkan catatan dan kisah berkaitan perjalanan seorang ibu yang bersemangat kental dalam membesarkan anak yang disahkan menghidap 'Brain Tumor'.

"Sebelum ini, hasil kutipan dan jualan buku daripada kisah benar ini juga turut disumbangkan kepada jabatan dan agensi tertentu," katanya.

Beliau berkata ketika kerja-kerja gotong royong membersihkan rumahnya oleh Jawatankuasa Bencana Banjir Dun Rhu Rendang dan Jabatan Amal Marang, semalam.

Dalam masa yang sama, satu jawatankuasa banjir Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang juga telah ditubuhkan bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di mana Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat telah menjadi pusat sebagai bilik gerakan dan operasi.

Inisiatif ini ditubuhkan khas bagi membantu penduduk sekitar dan mangsa-mangsa di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) ekoran pertambahan jumlah mangsa secara mendadak.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam masa menghadapi banjir gelombang ketiga ini, jawatankuasa banjir telah memberi bantuan sokongan seperti membersihkan rumah kepada mereka yang memerlukan.

"Rumah puan Rahimah agak teruk terjejas, tambahan lagi beliau merupakan warga mas, dan mempunyai anak yang sakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Semalam, kita menghantar bekalan makanan, seperti roti dan air pada peringkat awal ke beberapa buah PPS, kemudian kita menghantar bungkusan nasi yang disediakan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung setempat 

"Jawatankuasa ini tetap bersedia setiap masa dalam usaha membantu mangsa dan agensi yang terlibat dalam menguruskan bencana ini di sekitar Dun Rhu Rendang," tambahnya lagi.


Tag: