lightning-solid
Berita :
Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Rentung di LPT2
Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Rentung di LPT2
Muhammad Amiruddin Zamri
3 jam yang lepas
64

DUNGUN, 14 Ogos – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam keadaan rentung selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemui rentung selepas motosikal yang ditungganginya terbakar susulan perlanggaran dengan lori berkenaan.

Kemalangan berlaku sebelum susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun ketika kedua-dua kenderaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju Kuantan, Pahang.

Siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan barangan kurier itu dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Tidak lama kemudian, motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri lori berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, motosikal serta penunggangnya terbakar sebelum api berjaya dipadamkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Mayat mangsa yang rentung kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca sebenar kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Tag :

Artikel Berkaitan