• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penyakit Hawar Berdarah Tidak Jangkiti Manusia

 

KUALA TERENGGANU, 16 September - Penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) yang disyaki menyerang lebih 30 ekor kerbau milik keluarga Syukor Khamis, 15, tidak berisiko berjangkit dengan manusia.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan perkara itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi yang berlaku di Kampung Banggol Katong, Serada beberapa hari lepas.

"Penyakit HS adalah penyakit bukan zoonotik iaitu tidak berjangkit pada manusia. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik memandangkan tiada risiko penyakit tersebut kepada manusia.

"Kerjasama penternak bagi melaporkan sebarang kes disyaki penyakit HS di mana-mana Pejabat Veterinar Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah berdekatan amat diperlukan," ujar kenyataan itu.

Jelas JPV, HS merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella Multocida (p. multocida) Carter’s Type B.

Katanya, penyakit tersebut biasanya menyerang ternakan lembu dan kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa 8 hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit ini kerap menyerang ternakan pada musim hujan," menurutnya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPV Terengganu telah menjalankan bedah siasat ke atas ternakan yang mati dan semua sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan penyakit.

"Notis arahan kuarantin mengikut seksyen 18 Akta Binatang 1953 telah dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak pada 13 September 2020.

"Di samping pemberian ubat antibiotik pada ternakan yang bergejala serta khidmat nasihat kepada penternak bagi tujuan penvaksinan," kata kenyataan tersebut.


Tag: