• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penyanyi Seksi : JHEAT, Polis Lancar Siasatan

KUALA TERENGGANU, 3 April – Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak polis membuat siasatan lanjut berkenaan penyanyi seksi yang tular di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran tersebut amat dikesali dan pihaknya telah meminta pengurusan hotel untuk lebih teliti dalam menerima sebarang tempahan terutama berkait hiburan.

“Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada JHEAT dan pihak polis berkaitan siasatan berkenaan isu ini.

“Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) akan dirujuk bagi meneliti kesalahan penganjuran berkenaan garis panduan berkaitan hiburan,” tambahnya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, potongan video seorang penyanyi seksi berpakaian wanita bersama beberapa penari tular di sosial media dan menjadi bualan hangat masyarakat. 

Permohonan maaf secara terbuka telah dibuat oleh Pengurus Besar Hotel Tanjong Vista, Lily Julia Hassan Tan sejurus selepas menerima kunjungan Mohd Nor yang mewakili kerajaan negeri serta JHEAT.

 


Tag: