• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penyelenggaraan Jalan Untuk Keselesaan Penduduk



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 20 Mei – Masalah jalan berlubang bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna, malah ia boleh mengundang bahaya serta kerosakan kenderaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, ekoran masalah yang membelenggu penduduk itu, aktiviti penyelenggaraan jalan terus dititkberatkan bagi memastikan keselesaan mereka menjalankan aktiviti seharian.

“Alhamdulillah, pagi ini kita selesaikan masalah jalan berlubang di sekitar Pasar Jabi. Walaupun Pasar Jabi saiznya kecil, sedaya yang mampu kita pastikan keselesaan peniaga dan pengguna disini. Kecil bagi kita, besar untuk rakyat.

“InsyaAllah, untuk penyelenggaraan jalan rosak seterusnya ini akan dilaksanakan satu persatu secara berperingkat di semua jalan Dewan Undangan  Negeri (DUN) Jabi,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Katanya, beliau selalu mengingatkan kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Jabi bahawa dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat, tetaplah berpegang dengan prinsip keadilan.

“Jangan pasang niat kita nak balas balik dengan sedikit kuasa yang ada di tangan. Berlaku adil kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa. Keadilan bukan makna beri sama banyak. Tetapi adil dengan memberi kepada yang berhak.

“Kita nak buat baik, memang dugaan akan datang silih berganti. Antara yang paling hebat ialah dugaan hati dan perasaan,” ujarnya.

Tag: