• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penyelidikan WABCORE Bantu Penduduk Pesisir Pantai


Oleh: Aslam Wira

MARANG - Kerajaan negeri menyokong penyelidikan bagi memasang Tukun Tiruan Wave Breaker Coral and Restorer (WABCORE) di Pantai Kampung Rhu Muda, di sini yang mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

Kumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Hidrolik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) melaksanakan projek tukun tiruan berkenaan untuk melihat keberkesanan struktur WABCORE dari aspek kawalan hakisan pantai terutamanya ketika monsun di samping menggalakkan pembiakan hidupan marin.


Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman turun padang bagi melihat sendiri aktiviti penyelidikan dan pemasangan tukun tiruan tersebut.

Wahad mengalu-alukan aktiviti penyelidikan terutama melibatkan pemuliharaan batu karang dan hidupan laut serta pencegahan hakisan pantai.

"Kita juga akan mengadakan perbincangan berterusan untuk penyelidikan lain sekiranya perlu seperti contoh penyelidikan di kawasan Sungai,"katanya.

Turut hadir, Penyelia Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Rhu Muda, Zahari Awang.

Menurut Ketua Penyelidik, Mohd Kamarul Huda berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 180 tukun tiruan yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM200,000 bagi menjayakan penyelidikan itu.

Katanya, penyelidikan itu adalah projek yang ketiga dan Terengganu menjadi lokasi pertama yang dipilih oleh MHI.

Selain itu juga, Kampung Rhu Muda dipilih berikutan geografinya yang strategik kerana penyelidikan tersebut bertujuan mengkaji habitat ikan dan mengelakan hakisan pantai.

"Kami amat berbesar hati dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pejabat Dewan DUN Rhu Rendang kerana menyokong kami dalam usaha memulihara alam sekitar dan habitat marin.

"Sekiranya pihak tuan mempunyai sebarang keperluan penyelidikan berkenaan air dan alam sekitar, pihak kami juga tanpa segan silu bersedia membantu setakat termampu,”katanya lagi.



Tag: