• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Penyokong Terengganu FC Sangat Luar Biasa – Faris Ramli



Faris Ramli.
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Pemain baharu Terengganu Football Club (TFC), Faris Ramli, 27, mengakui teruja dengan sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh penyokong pasukan itu semenjak beliau melengkapkan perpindahan.

Pemain pasukan kebangsaan Singapura itu berkata, pengalaman tersebut pastinya akan menjadi sesuatu yang baharu dan sangat berharga buat dirinya dalam mengharungi saingan Liga Malaysia.

“Alhamdulillah, semua penyokong TFC sangat terbaik, sebelum ini saya bersama PKNS dan Hougang United, tetapi ‘fans’ TFC ini sangat luar biasa.

“Selepas saya menyertai TFC, ramai penyokong yang selalu menghantar mesej kepada saya di Instagram dan tak sabar melihat saya beraksi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan TFC di Gong Badak kelmarin.

Menurut Faris, disebabkan itu beliau sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama menentang Perak FA 29 Februari depan.


“Saya sangat bahagia di sini, jadi apa yang harapkan kepada mereka adalah terus menyokong TFC dan saya akan buat yang terbaik buat TFC.

“Sebagaimana harapan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain yang mahu satu piala pada musim ini, insya-Allah kami akan usahakan,” jelasnya.

Tambah beliau, pemain seperti Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov pastinya akan menjadi gandingan terbaik buat dirinya bagi mencetak jaringan untuk TFC.

“Mereka adalah pemain utama dan arkitek TFC yang saya sangat tidak sabar untuk bermain bersama,” katanya.

Faris menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad TFC bagi mengisi kuota pemain Asean yang sebelum ini menjadi milik pemain dari Kemboja yang dilahirkan di Perancis, Thierry Chantha Bin yang digugurkan TFC sebelum ini.






Tag: