• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyokong Terengganu, Melaka Dikompaun Kerana Merokok

KUALA NERUS, 18 April – Beberapa penyokong Terengganu FC dan Melaka United dikompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) atas kesalahan merokok di dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya telah mengeluakan 14 notis kompaun bernilai RM2,500 dalam Ops Gomo Asap Khas itu.

“Kedegilan perokok semakin menggusarkan terutamanya golongan kanak-kanak, wanita dan warga emas.

"Hal ini kerana, asap rokok serta baunya yang tidak menyenangkan itu akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan tubuh badan kita," katanya melalui kenyataan media pada hari ini.

Tambah Dr Kasemani, orang ramai khususnya perokok perlu mengambil peluang kelebihan bulan Ramadan ini bagi memulakan azam untuk berhenti merokok.

Di samping itu katanya, mereka boleh mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di semua Klinik Kesihatan Daerah di negeri ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengambil maklum bahawa kawasan stadium merupakan sebagai kawasan larangan merokok.

“Kesemua kesalahan boleh dibuat rayuan pengurangan dan bayaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah di Terengganu atau mana-mana Pejabat Kesihatan di seluruh Malaysia,” ujarnya.

 


Tag: