• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Penyu Agar Bertelur Di Pantai Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Seekor penyu agar  berusia antara  15 hingga 18 tahun dikesan mendarat untuk bertelur berhampiran hotel Primula di Pantai Batu Buruk, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu berkenaan mula bertelur antara jam 7 petang dan 8.50 malam dengan jumlah telur sebanyak 49 biji.

Katanya, telur penyu berkenaan dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.

"Berat dan saiz penyu tidak dapat ditentukan kerana  ibu penyu telah turun ke laut semasa pegawai tiba ke lokasi.

" Namun, penyu dianggarkan berusia antara 15 - 18 tahun dan merupakan penyu muda berdasarkan pada saiz trek dan jumlah telur," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak mengganggu penyu semasa ia dalam perjalanan naik ke darat, semasa di darat atau turun semula ke laut. 

Jelas beliau lagi, perbuatan tersebut boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (pindaan 1987) dan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, kejadian itu memberikan mesej bahawa penyu sebenarnya bersedia untuk bertelur di sepanjang 225 km jajaran pantai dari Kemaman ke Besut, selain pantai-pantai di pulau yang menjadi lokasi popular penyu. 

"Penyu agar naik ke pantai Batu Burok ni petanda pantai kita sudah sesuai dengan persarangan penyu kerana ia amat sensitif dan berhati-hati dalam memilih lokasi persarangan.

"Berkemungkinan waktu sekarang aktiviti orang awam di pantai amat kurang menjadikan tiada gangguan kepada penyu menjadikannya pilihan untuk bertelur,"ujarnya.