• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Penyu Agar Ditemui Mati Terdampar

KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seekor penyu jenis Agar dewasa ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, semalam

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata haiwan yang diancam kepupusan ditemukan penduduk kampung pada 9 pagi sebelum membuat laporan kepada jabatan berkenaan.

"Bangkai penyu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu didapati telah mula reput dengan anggota badan haiwan itu membengkak manakala usus sudah keluar dari bahagian belakang badan. Penyu itu dipercayai mati kira-kira seminggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruzaidi berkata tiada sebarang kecederaan akibat khianat seperti kesan jerutan tali atau kesan hentakan ditemukan di kepala penyu itu.

Beliau berkata pihaknya sudah menerima 24 laporan mengenai kematian penyu tahun ini termasuk penyu itu.

Orang awam boleh memaklumkan kepada Pejabat Daerah Perikanan terdekat atau menghubungi talian 03-88885019 sekiranya menemukan penyu hidup atau mati, katanya.