• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Peralihan Kerajaan : MPKK Terengganu Berjalan Seperti Biasa

Azman Ibrahim.

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Gerak kerja melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Terengganu akan berjalan seperti biasa walaupun berlaku perubahan kepimpinan di peringkat persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, ini kerana kerajaan negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengurusan dan bayaran elaun bagi kesemua 1046 MPKK Terengganu.

Jelasnya, ia setelah kerajaan pusat sebelum ini menghentikan kerjasama serta menamatkan bayaran elaun kepada MPKK lantikan negeri.

“Kita laksanakan inisiatif itu bagi menjamin kelangsungan fungsi dan peranannya dalam membantu masyarakat.

“Kerana itu, maka perjalanan MPKK di Terengganu akan terus berjalan seperti biasa di bawah tanggungjawab kerajaan negeri sehingga satu keputusan baharu dibuat di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Pada 4 Mac baru-baru ini, Ketua Setiausaha KPLB dalam satu makluman berkata, segala urusan berkaitan MPKK dan MPKK Persekutuan (MPKKP) diminta untuk ditangguhkan sementara waktu berikutan peralihan kerajaan.

“Ia telah mengakibatkan berlaku rombakan pucuk pimpinan di seluruh negara yang mana turut melibatkan MPKK dan MPKKP.

“Jadi dipohon untuk menangguhkan sementara semua urusan MPKK dan MPKKP termasuk urusan pelantikan, pertukaran, pembayaran elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.

“Berkuatkuasa sehingga mendapat dasar dan hala tuju baharu daripada Menteri KPLB,” ujar kenyataan itu.





Tag: