• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peranan Wanita Wajar Dihargai

KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Wanita sama ada ibu, isteri atau guru perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai lambang penghormatan dan penghargaan terhadap peranan mereka dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang.

Katanya, sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk terus mara ke hadapan malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan utuh dan bersemangat waja.

“Meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19, kepayahan demi kepayahan mengajar golongan wanita  tetap bangkit mendepani cabaran. Hayatilah tema hari wanita “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”yang sinonim dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu kelmarin.

Sempena majlis itu, Pertandingan Penulisan Kreatif Sempena Hari Sayyidatina Aisyah 2020 bermula pada Mac 2020 turut diadakan dengan membuka peluang kepada semua rakyat Terengganu yang mempunyai bakat atau berminat dalam penghasilan esei, cerpen, puisi, sajak dan pantun.

Juara bagi pertandingan esei yang bertemakan 'Sayyidatina Aisyah Sumber Inspirasi Srikandi Ummah' adalah Ruhiyah Sakinah Kayati, 30, dari Kampung Teluk Pasu, Manir.

Ruhiyah berkata, dia terharu dengan kepercayaan urus setia program sehingga melayakkan karya miliknya, A'isyah Insprirasi Ummah' diterbitkan.

“Kemenangan itu memberi semangat untuk saya terus  berkarya dan memperbanyakan kajian tentang  isi kandungan al-Quran dan seterusnya jika diizinkan Allah turut menerbitkan buku berdasarkan kajian itu.

“Apa yang dimenangi ini juga seiring dengan cita-cita mahu menjadi penulis buku,” kata pelajar Ijazah Doktor Falsafah Psikologi  Universiti Malaysia Terengganu.

 


Tag: