• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Perangkap Tambahan Dipasang, Elak Khinzir Masuk Bandar

MARANG, 16 September - Sebanyak 10 perangkap tambahan membabitkan lima perangkap khinzir dan kera dipasang bagi mengelakkan kejadian binatang terbabit memasuki bandar Marang berulang.

Perangkap itu disumbangkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria berkata, tinjauan ke lokasi perangkap khinzir serta kera bersama Jabatan Perhilitan Terengganu telah diadakan pagi semalam di Kampung Rhu Renggeh.

"Tujuan tinjauan ini adalah bagi membincangkan struktur binaan perangkap yang perlu digunakan kepada jenis haiwan liar ini berdasarkan ketetapan oleh Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.

"Sturuktur binaan ini telah dikeluarkan jabatan terbabit supaya perangkap yang dibina selaras seperti dikehendaki," kata beliau ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Turut hadir, Ketua PERHILITAN Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Rhu Renggeh, Najmuddin Rani.

Menurut Sabri, sumbangan perangkap itu juga adalah berdasarkan rentetan kejadian yang berlaku sebelum ini dan siasatan yang dilakukan terhadap aduan penduduk.

Ujarnya, sebelum ini terdapat dua ekor khinzir berkeliaran di kawasan bandar Marang sehingga menimbulkan risiko kemalangan dan mencacatkan pemandangan.

"Perhilitan pernah memasang perangkap di beberapa lokasi di sekitar bandar Marang iaitu di kawasan belakang stesen minyak Caltex, sekitar kediaman rasmi Pegawai Daerah Marang, dan belakang deretan bangunan kedai KFC.

"Namun perangkap tersebut akan beralih ke tempat baharu selepas mendapat aduan baru kerana jumlah perangkap yang tidak mencukupi.

"Dengan tambahan perangkap ini, kita berharap masalah khinzir berkeliaran dan gangguan kera dapat dikurangkan di sekitar sini," jelasnya.


Tag: