• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PERANTAU Main Peranan Penting Bantu Anak Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) perlu memainkan peranan penting dalam membantu anak negeri ini yang merantau di luar mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya amat berharap agar badan tersebut menjadi mata dan telinga kerajaan bagi pihak sekali gus dapat menyampaikan sebarang cadangan, pandangan dan keperluan.

“Dalam tempoh 4 tahun pentadbiran PAS di negeri Terengganu, kita telah banyak melakukan kerjasama bersama PERANTAU ketika berhadapan dengan COVID-19 di mana bantuan-bantuan yang sepatutnya diterima oleh anak-anak Terengganu yang terkesan dengan COVID-19 telah berjaya dilaksanakan.

"Terdahulu, kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 pada 2 Mei tahun lepas buat anak Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucacp merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-6  PERANTAU di Kuala Lumpur kelmarin.

Ujar Wan Sukairi, PERANTAU juga telah memainkan peranan penting dalam menjejaki mangsa banjir dari kalangan anak Terengganu yang diuji dengan banjir di Pahang dan Lembah Klang baru-baru ini.

"PERANTAU menjadi NGO utama yang mengagihkan bantuan tersebut bersama NGO anak-anak Terengganu yang lain.

"Saya amat berterima kasih kepada PERANTAU yang telah menjadi medium penghubung antara pihak kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu di perantauan di seluruh negeri termasuk di Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Beliau juga berharap dengan hubungan yang dijalinkan bersama PERANTAU ini akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan negeri kepada anak-anak Terengganu di perantauan.

Dalam program yang sama, Wan Sukairi merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu PERANTAU yang diketuai oleh Prof Madya Dr Nuri Al Amin Endut selaku presiden.

 

 

 

 


Tag: