• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perantau Sedia Mengundi, Puas Hati Pentadbiran Kerajaan

IPOH, 4 Jun – Anak-anak Terengganu yang menetap di Perak dan Kedah bersedia untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Hasil tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman pada Program Jelajah Pimpinan Bertemu Anak Terengganu di Kolej Height Utara Jitra, Kedah kelmarin dan Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak semalam, rata-rata mereka bersemangat untuk membuang undi.

Mengulas mengenai program itu, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohamad Nordin Jaafar, 21 berkata majlis tersebut amat baik dan memberi banyak manfaat kepada golongan perantau.

“Khususnya maklumat dan penerangan berkaitan dengan negeri Terengganu dari sudut perkembangan terkini, isu semasa, bantuan dan sebagainya.

"Kami dapat bertemu dan bersua muka dengan kepimpinan kerajaan negeri serta diberi peluang bertanya soalan kepada mereka," jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditemubual oleh pemberita selepas Program Perantau di sini.

Hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Wan Sukairi berkata, program perantau ini diadakan setiap tahun bermula pada 2019 bagi mendekatkan golongan perantau dengan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu.

"Program ini sentiasa mendapat sambutan dari sudut kehadiran, kemeriahan dan sebagainya setiap kali diadakan.

"Di samping, dapat mendengar luahan, kritikan serta cadangan daripada mereka untuk kebaikan negeri ini," katanya.

Sementara itu, seorang guru, Aisyah Khalees, 39 berkata program perantau secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim anak-anak Terengganu di Perantauan.

Beliau yang berasal daripada Kuala Terengganu itu telah menetap lebih 15 tahun atas faktor kerja di Perak.

“Pandangan saya terhadap kepimpinan kerajaan sekarang adalah sangat professional dalam mentadbir negeri Terengganu.

“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam membantu rakyat sekali gus menjaga kebajikan para perantauan yang tinggal di luar negeri Terengganu,” ujarnya.

 


Tag: