• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perantau Tidak Lepas Peluang Tunai Tanggungjawab Memilih

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- Rata-rata perantau dilihat sanggup pulang ke negeri kelahiran masing-masing bagi mengambil peluang memilih pimpinan kerajaan.

Ada yang memohon cuti tahunan, balik sendirian dan sebagainya antara bukti kesungguhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, hari ini.

Mahfudzah Sarah Razilah Mansor yang bertugas di Rawang, Selangor, berkata dia hanya pulang ke Kuala Terengganu bersama anak-anak dan adiknya memandangkan suaminya mengundi di Sabak Bernam, Selangor.

“Saya dan anak-anak sampai malam tadi, sebelum itu, saya singgah di Temerloh ambil adik untuk datang mengundi sekali pagi nie.

“Kami sangat teruja untuk mengundi di negeri sendiri, dan tidak tukar tempat mengundi semata-mata hendak balik negeri asal, hendak mengundi dekat sini juga,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, hari ini.

Katanya, beliau mengharapkan calon yang akan memenangi PRU DUN ke-15 dan PRK Kuala Terengganu akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan Negeri Terengganu.

Sementara itu, Wan Azliana Wan Adnan yang tinggal di Selangor  menyifatkan PRU DUN Ke-15 dan PRK Kuala Terengganu kali ini memberi peluang kepada dirinya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Disebabkan tidak dapat pulang mengundi pada PRU Ke-15 yang lepas, saya ambil peluang ini untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Diharapkan calon yang menang nanti dapat menjadi wakil rakyat yang boleh membantu masyakarat setempat,” ujarnya yang juga mengundi di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1.