• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia


HULU TERENGGANU, 8 September - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UKM ( PERMATA ) disarankan memperbanyakkan aktiviti keagamaan bagi membantu mempertingkatkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat khasnya melibatkan golongan belia.

Bapa Angkat PERMATA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata saluran terbaik untuk memupuk hubungan baik dan semangat kerjasama adalah melalui aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan.

Menurutnya, program-program keagamaan amat penting sekali melibatkan golongan belia kerana cabaran sosial hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat.

"Kita lihat sahaja golongan belia kita yang mudah terpengaruh oleh maklumat dan pengaruh media sosial yang disebarkan oleh pihak yang sengaja mahu memesongkan akidah belia-belia Islam kita.

"Belia perlu merebut peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk meningkatkan potensi diri, membina kepimpinan serta akhlak mulia," katanya ketika meraikan kunjungan persatuan tersebut di kediamannya dekat sini.

Maliaman juga  berkata belia perlu bersikap positif, berfikiran rasional serta bijak menilai agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan.

Tambah beliau lagi, ada tiga teras utama jika sesuatu program itu ingin dijalankan iaitu keagamaan, pendidikan dan kebajikan membabitkan belia dan masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur.

“Sebagai pelajar yang ingin mengadakan program bersifat komuniti perlu membuat persediaan rapi terutama mempunyai ilmu pengetahuan agama dan akademik untuk memberi bimbingan kepada golongan yang memerlukan,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara program yang boleh dilakukan bersama penduduk setempat terutama belia ialah mengadakan program bimbingan solat, membaca al-Quran, sesi akademik bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti seperti sukan.

“ Oleh yang demikian, amat penting sekali program-program keagamaan dianjurkan lebih banyak lagi dengan melibatkan golongan belia dan masyarakat,” tambah beliau.