• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mahu  kadar vaksinasi di Terengganu dan lima negeri  lain melebihi 50 peratus pada akhir September ini.

Beliau berkata, Terengganu disenaraikan bersama Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus

"Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara tersebut.

"Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi.

"Semua enam negeri tadi mesti melebihi 50 peratus," ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau juga tidak mahu ada sebarang masalah kelewatan berkaitan dengan penghantaran vaksin.

"Saya sudah berbincang dengan KSU bahawa jika ada vaksin yang kita langgan ada masalah dari segi penghantaran, (maka) tidak perlu tunggu pada vaksin tersebut," jelasnya.

Menurut laporan kumulatif vaksinasi sehingga 29 Ogos oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV), Terengganu kin mencatatkan 80.9 peratus populasi dewasa disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 46.8 peratus telah selesai divaksin.