• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perebutan Kerusi DUN Kijal Diramal Paling Sengit

KEMAMAN, 29 Julai - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Kijal, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Parti Islam Se-malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN).

Calon daripada PAS yang merupakan bekas Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris akan berhadapan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Ketengah sekarang.

Razali yang juga merupakan Ketua Bersatu Terengganu menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.10 pagi semalam

Manakala, Ahmad said yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap penyandang DUN Kijal menyerahkan borang penamaan pada jam 9.04 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal, Hanum Isa@Ghazali secara rasmi mengumumkan dua calon yang bertanding itu tepat jam 10.20 pagi.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati, memutuskan tiada yang ditolak.

"Dengan ini saya mengumumkan calon-calon disahkan bertanding dalam pilihan raya negeri N30 Kijal adalah seperti berikut.

"Pertama Razali Idris daripada parti PAS dan Kedua, Ahmad Said daripada BN," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Penamaan Calon N30 DUN Kijal bertempat di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Sivik Kijal di sini semalam.

Proses penamaan calon bagi N30 Kijal berjalan lancar hasil kawalan ketat oleh pihak polis, RELA dan Jabatan Amal manakala penyokong kedua-dua parti bertanding berada pada jarak 25 meter daripada pagar pusat penamaan calon.

Kerusi DUN Kijal yang terletak di bawah Parlimen Kemaman mempunyai populasi 98 peratus pengundi Melayu manakala baki, dua peratus lagi adalah kaum Cina di mana pengundinya seramai 29,419 orang. 

Razali yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College Kuala Lumpur mengenakan nama mesranya 'Tok Li' pada kertas undi di petak pertama dalam mengeratkan hubungannya dengan pengundi di Kijal. 

Turut hadir di penamaan tersebut adalah bekas calon N30 Kijal yang lepas iaitu Ustaz Hazri Jusoh sebagai wakil calon bagi membantu kemenangan PAS di Kijal yang dijangka menjadi tumpuan penganalisa politik tanah air.


Tag: