• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP

KUALA TERENGGANU, 5 November - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan agar kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran wang Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat khususnya mereka yang hilang pekerjaan.

Katanya, perkara itu perlu diperhalusi dan dibincang secara menyeluruh mengenai bentuk atau kaedah pengeluaran sekiranya dibenarkan malah perlu memastikan pengeluaran itu hanya untuk tujuan kecemasan.

“Mengenai pengeluaran Wang Akaun 1 caruman KWSP ini seperti diminta oleh agensi serta beberapa pihak yang viral di sosial media saya rasa kerajaan boleh membuat pertimbangan.

“Antara yang boleh dipertimbangkan adalah untuk kes-kes munasabah yang perlu dibuktikan oleh pencarum yang mahu membuat pengeluaran dan bukan setiap orang boleh berbuat demikian.

“Selain itu, jumlahnya juga tidak terlalu besar sekadar untuk menyelesaikan perkara-perkara kecemasan mereka sahaja,” ujarnya kepada pemberita.

Justeru katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan sewajarnya cadangan pengeluaran caruman ini supaya dapat meringankan beban rakyat di masa pandemik COVID- 19 dan secara tidak langsung dapat menjamin kelangsungan hidup pencarum.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19.

Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

Jelas Muhyiddin, simpanan KWSP adalah untuk masa tua pencarum dan sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran dilakukan, ia akan memberi masalah lebih besar pada masa hadapan iaitu selepas pencen.