• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PERHILITAN Pantau Kemunculan Harimau Kumbang


Foto ihsan - Google
KUALA TERENGGANU, 18 September - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu terus melakukan pantauan di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah dan kawasan sekitarnya berikutan aduan penduduk tentang seekor harimau kumbang yang ditemui berkeliaran di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata, pihaknya telah bertindak selepas  menerima aduan penduduk dan beberapa kakitangan telah pergi ke lokasi tersebut untuk memasang perangkap.

“Pihak kami masih lagi membuat pantauan di kawasan berkenaan dan sekitarnya untuk mengesan harimau ini.

“Sehingga hari ini, pasukan yang ditugaskan masih lagi tidak dapat mengesan jejak binantang berkenaan namun pantauan berterusan akan dibuat demi keselamatan penduduk sekitar,” ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar terus berhati-hati dan segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan itu untuk memudahkan tindakan dibuat.

Terdahulu, harimau kumbang terbabit ditemui berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kampung Besul Lama, menimbulkan kerisauan penduduk di sekitarnya.

Salah seorang penduduk, Nur Mazila Mohd Salleh, 37, telah memuat naik sekeping gambar harimau terbabit di Facebook dengan meminta bantuan untuk mendapatkan nombor telefon PERHILITAN Terengganu. Bagaimanapun, status tersebut dipadam sebaik sahaja aduan dibuat kepada PERHILITAN.

Sementara itu, pada masa sama seorang penduduk, berkata, kejadian terbaharu berlaku yang mana dia melihat sendiri seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumahnya, di blok H taman perumahan itu.

“Ini kali ketiga saya melihat haiwan itu dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, namun ada jiran mendakwa sudah melihat harimau itu berkeliaran sejak sebulan lalu,” katanya.

Tag: