• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

Perkasa Kebajikan Ramadan, Lebarkan Senyuman

Oleh : Amiruddin Zamri

DUNGUN, 29 April - Kerajaan negeri menggerakkan usaha kebajikan pada bulan Ramadan dengan menyasarkan golongan anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan lain-lain lagi sehingga ke kawasan pedalaman di Hulu Dungun.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, antara inisiatif diambil adalah melalui sumbangan hamper dan wang tunai kepada 141 orang anak yatim melalui Program Titip Kasih Ramadan 2021.

“Program anjuran dan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

"Semoga sedikit sebanyak meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada mereka semua,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tersebut yang berlangsung di Balora Bandar Al Muktafi Billah Shah, baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan, Program Agihan Bakul Makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membantu.

Tambahnya, Bukit Besi dan Rantau Abang juga, seramai 961 orang penerima bantuan JKM terdiri daripada warga emas, gelandangan dan OKU turut dibantu pada bulan ini.

“Sama ada melalui Program Agihan Bakul Makanan oleh JKM serta pelbagai insiatif serta program-program tertentu bagi meringankan beban yang dihadapi bagi mendepani pandemik yang melanda ketika ini,” katanya.


Tag: