• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

'PERKESO Abai Kebajikan Pekerja' - Dr Mohd Khairuddin

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
KUALA NERUS, 5 Januari - Tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperketatkan syarat kelayakan untuk menerima rawatan percuma bagi pesakit buah pinggang tahap akhir adalah suatu pengabaian terhadap kebajikan dan kesihatan sejumlah besar pekerja di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan statistik, pada 2016 sahaja terdapat seramai 14,023 penerima kemudahan rawatan dialisis yang disediakan oleh PERKESO.

Katanya, ini mewakili 35 peratus daripada 39,711 orang yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menerima rawatan dialisis di seluruh negara.

"Jika syarat ini diperketatkan, pasti akan mengurangkan jumlah penerima sedangkan pada tahun ini dijangkakan jumlah pesakit buah pinggang ini adalah melebihi 50,000 orang dan mencecah 106,000 orang pada 2040 yang sebahagian besarnya sudah pasti adalah pekerja-pekerja yang berkhidmat untuk produktiviti isi rumah masing-masing dan negara," ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang disiarkan di status facebooknya hari ini.

Menurut beliau, ditambah pula 64 peratus penerima rawatan dialisis ini juga menghidapi penyakit kencing manis atau diabetes.

"Sekiranya golongan pekerja ini tidak diberikan bantuan rawatan, mereka pasti terjejas dengan beban kewangan yang lebih besar.

"Justeru, saya menggesa supaya Menteri Sumber Manusia memberikan maklum balas segera dan memainkan peranan sewajarnya supaya PERKESO menarik semula keputusan tersebut.

"Sikap Menteri yang masih berdiam diri mengenai perkara ini adalah sangat mengecewakan," ujarnya.


Tag: