• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Perkhidmatan Awam Jadi Tonggak Utama Agenda Kerajaan

 

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Perkhidmatan awam merupakan tonggak utama yang berperanan untuk menggerakkan setiap pelaksanaan agenda dan inisiatif yang telah direncanakan oleh kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, dalam berdepan situasi sukar fasa pemulihan ekonomi negara, penjawat awam perlu bersungguh-sungguh serta komited bagi memastikan setiap dasar dan strategi yang disusun kerajaan dapat diterjemahkan dengan jayanya.

Katanya, hal ini dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 telah meletakkan negara kita di kedudukan ke-4 terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia.

“Begitu juga Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-5 berbanding 23 negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bukit Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Persuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zahari Bin Md Azahar

Menurutnya, usaha memulihkan dan melonjakkan semula ekonomi negara sesungguhnya memerlukan satu usaha yang lebih jitu dan komited dari kita semua penjawat awam.

“Inisiatif-inisiatif segera pasca COVID-19 seperti pelaksanaan projek berimpak tinggi dan penyaluran bantuan kepada rakyat sudah pasti akan terencat.

“Sekiranya terdapat isu-isu rasuah dan korupsi berlaku di dalam Perkhidmatan Awam khususnya dalam kalangan penjawat awam itu sendiri,” katanya .

 


Tag: