• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Perkhidmatan Bas Percuma Ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Bagi memudahkan rakyat Terengganu berkunjung ke karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM)di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, pada 2 hingga 4 Jun ini, kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas percuma 'ambil dan hantar' di lima lokasi, bermula esok.

Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan berkata, sebanyak 16 buah bas akan disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di Masjid Sultan Muhammad di Bukit Besar untuk komuniti di sekitar Bukit Besar, Pasir Panjang, Sungai Derhaka, Bukit Bayas dan Panji Alam.

Selain itu, lokasi lain ialah di Masjid Kampung Tasik di Wakaf Dua untuk komuniti di sekitar Kampung Tasek, Bukit Payung dan Pulau Besar; Pasar Manir (sekitar Manir); Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh (sekitar Gemuroh dan Tepoh) dan Masjid Batu Rakit (sekitar Batu Rakit).

Pergerakan bas akan bermula pada 8.30 pagi hingga 6.30 petang dengan trip di setiap lokasi ambil dan hantar dianggarkan setiap satu jam sekali bagi kemudahan orang ramai.

Pelbagai program menarik akan berlangsung pada Jelajah AKM kali ini antaranya kaunter kementerian dan agensi, karnival kerjaya, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sukan rakyat, e-sukan dan persembahan kebudayaan negeri. 

Pada penganjuran kali ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu'.


Tag: