• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Perlu Kerjasama Erat Atasi Gejala Sosial

Foto - Hidayah Azlin
Oleh: Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 12 Februari - Masalah jenayah dan keruntuhan moral di kawasan kampung memerlukan kerjasama semua pihak terutama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, hubungan erat yang dijalin akan menjadikan semua pihak peka tentang maklumat terkini bagi menghadapi situasi yang berlaku di dalam komuniti masing-masing.

"Masalah ini perlu kita tangani dengan adanya kerjasama bersama pihak polis.

“Pihak polis sendiri sukar menyelesaikan masaalah ini melainkan dengan adanya bantuan daripada MPKK yang menyalurkan maklumat," ujarnya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Polis Bersama Masyarakat di Dewan Sivik Jabi semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Mohd Zamri Mohd Rowi.


Dalam pada itu, Shaharizukirnain mengingatkan MPKK agar mengambil tanggungjawab menangani masalah kerosakan akhlak di kalangan masyarakat khususnya orang muda.

"Kita mahu MPKK bukan sekadar bermesyuarat, berbincang bagaimana untuk mempertingkatkan infrastruktur, kebajikan untuk masyarakat sahaja tetapi turut menitikberatkan perkara ini.

“Insya-Allah jenayah akan dapat dikurangkan walaupun susah kita hendak sifarkan semuanya untuk menjadikan negeri ini Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.

Tag: