• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Perlu Peruntukan Darurat RM5 Juta Atasi Hakisan Pantai Pengkalan Maras



Oleh: Mohd Hanif Hamdan

KUALA NERUS, 29 Ogos -  Kerajaan negeri memohon peruntukan segera sebanyak RM5 juta di bawah darurat dari Kerajaan Persekutuan bagi penyelesaian sementara masalah hakisan pantai di Pengkalan Maras di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk projek tambak pantai itu tetapi ia masih dalam reka bentuk untuk menyiapkan skop-skop kerja bagi kaedah menyelamatkan kawasan itu dari hakisan ombak.

Justeru katanya, adalah besar harapan rakyat dan kerajaan Terengganu agar peruntukan darurat itu diluluskan segera.

"Kita mohon Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperuntukkan peruntukan segera di bawah darurat untuk menyelesaikan masalah ini. 

"Walaupun kita tahu bahawa projek ini telah diluluskan sehingga RM90 juta pada tahun ini, tetapi masih dalam reka bentuk untuk menyiapkan skop-skop kerja bagi kaedah menyelamatkan kawasan ini, jadi untuk sementara ini kita berharap agar Kerajaan Pusat meluluskan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM5 juta dahulu untuk diperbaiki dibawah peruntukan  darurat." katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pengkalan Maras, di sini baru-baru ini.


Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Shafizi Ismail.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu, masalah hakisan pantai berkenaan telah mengakibatkan banyak kerosakan berlaku kepada kemudahan awam di sekitar pantai tersebut.

"Hakisan pantai itu sangat teruk. Dalam masa beberapa bulan saja  berlaku banyak kerosakan kemudahan awam.

"Pada bulan Januari yang lalu hingga ke bulan Ogos ini, 20 hingga 30 meter pantai telah terhakis dengan teruk sekali. Ini telah mengakibatkan dewan orang ramai, wakaf serta premis perniagaan terjejas akibat hakisan itu," jelasnya.

Beliau juga berkata dijangka hakisan semakin teruk bila tiba tiupan angin timur laut di musim tengkujuh hujung tahun ini. 

"Kita tahu sekarang ini Angin Tenggara, tahun ini angin agak kuat dan berlakulah hakisan seperti hari ini, kita jangka apabila berlaku gelombang laut dari  timur laut, kawasan ini akan semakin parah kerana dari pengalaman lepas lokasi kawasan ini menghala ke Timur Laut." ujarnya.

Tag: